PELLE (tengah) meraikan jaringan tunggalnya bersama rakan sepasukan. — FOTO AFC
Izlaily Nurul Ain Hussein


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) gagal dalam usaha memburu tempat ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia apabila tewas 0-1 di tangan Shandong Luneng di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Graziano Pelle menguburkan harapan Harimau Selatan untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan dalam Kumpulan E apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-22.

Penyerang dari Itali itu menyempurnakan percubaan pertama pelawat apabila dia menghukum kegagalan benteng JDT mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan merembat voli bagi gol keenamnya pada kempen setakat ini.

Kedua-dua pasukan bermula agak garang dengan saling berbalas percubaan, namun apabila Shandong meledak gol pertama, rentak permainan JDT seolah-olah semakin layu.

PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (tengah) berebut bola dengan dua pemain Shandong, Marouane Fellaini (kiri) dan Liu Yang di Larkin, malam ini. — FOTO Hairul Anuar Rahim

JDT turun tanpa kelibat tonggak pertahanan Mauricio Nascimento yang mengalami kecederaan, malah tidak menyenaraikan Gonzalo Cabrera dalam kesebelasan utama dan hanya mempertaruhkan Diogo Luis Santo selaku pemain import tunggal pada babak pertama.

Pada babak kedua, JDT bermain bermatian-matian dan anak buah Benjamin Mora kelihatan terdesak sebelum memasukkan tiga pemain simpanan iaitu Cabrera, Safawi Rasid dan Hazwan Bakri namun gagal juga mencari gol penyamaan.

JDT akan menerima kunjungan Kashima Antlers di Larkin dalam tempoh dua minggu manakala Gyeongnam yang mengejutkan Kashima 1-0 petang tadi, akan bertemu Shandong.

Keputusan itu juga menyaksikan JDT kekal terpesorok di tangga tercorot kumpulan itu dengan hanya satu mata. Shandong melonjak ke tangga teratas dengan lapan mata, Kashima tujuh mata manakala Gyeongnam di tangga ketiga dengan lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 11:16 PM