WOODS penuhi impian peminat golf Jepun.
WOODS penuhi impian peminat golf Jepun.
AFP

JUARA Masters, Tiger Woods mengumumkan akan kembali ke Jepun buat kali pertama dalam tempoh sedekad dengan menyertai Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) yang baharu pada Oktober depan.

"Saya teruja menyertai Kejohanan ZOZO pada Oktober ini dan kembali ke Jepun, salah sebuah negara kegemaran saya,” kata bintang golf berusia 43 tahun dalam Twitternya.

Woods mengejutkan dunia sukan awal bulan ini apabila muncul juara utama ke-15nya selepas kali terakhir melakukannya di Terbuka AS 2008.

Skandal seks pada 2009 diikuti kecederaan lutut dan belakang yang memerlukan tujuh pembedahan memaksa Woods kemarau trofi selama sebelas tahun.

Tetapi Jaket Hijau kelimanya meletakkan Woods kembali dalam misi memecahkan rekod 18 kejuaraan utama milik Jack Nicklaus.

Kejohanan ZOZO berlangsung pada 24-27 Oktober di Kelab Golf Accordia Golf Narashino berdekatan Tokyo dan menawarkan hadiah keseluruhan $9.75 juta (RM40.30 juta) -- rekod baharu Jepun. Kejohanan itu juga menggantikan CIMB Classic Malaysia.

Woods pernah mencapai kejayaan di Jepun sebelum ini, menjuarai Dunlop Phoenix dua tahun berturut-turut pada 2004 dan 2005. Dia terlepas peluang mencatat hatrik selepas tewas aksi playoff menentang pemain Ireland, Padraig Harrington pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 11:58 AM