HADIN tidak dapat beraksi menentang Melaka United. - FOTO Roslin Mat Tahir

SEMUA pemain The Fighters diminta tidak hilang fokus walaupun tanpa kehadiran kapten mereka, Hadin Azman yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut kiri apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil berkata, perlawanan itu juga sangat penting bagi mereka mengutip mata untuk mengelak daripada terus menghuni tangga tercorot Liga Super.

"Tanpa kelibat Hadin malam esok, corak permainan kami mungkin sedikit terjejas dan saya meminta mereka (pemain) untuk kekal fokus dengan misi merekodkan kemenangan di gelanggang sendiri.

"Melaka United juga dalam prestasi terbaik ketika ini selepas menewaskan Kedah hujung minggu lalu.

"Walaupun kami dalam keadaan tertekan dengan kedudukan tercorot, saya harap keputusan perlawanan malam esok memihak kepada kami," katanya.

Mengulas mengenai kesilapan dilakukan Jasazrin Jamaluddin ketika menentang Terengganu FC pada 19 April lalu, Mohd Nidzam mahu pemain tengah itu melupakannya dan menumpukan sepenuhnya kepada aksi menentang Melaka United.

"Saya tidak salahkan Jasazrin dan dia pun sudah menyatakan rasa terkilan kerana kesilapan dilakukan itu mengakibatkan pasukan tewas.

"Dalam perlawanan sebelum ini, dia selalu mempamerkan aksi yang baik dan sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan. Kita perlu melihat ke hadapan dan memperbaiki kelemahan, bukannya terus menyalahkan diri sendiri atau mencari salah sesiapa.

"Saya percaya dia dan pemain lain juga mahukan kemenangan dan saya minta mereka pamerkan aksi terbaik di gelanggang sendiri untuk mengutip tiga mata penuh malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:11 PM