Kain rentang dan poster dipercayai dinaikkan beberapa kumpulan penyokong Kelantan yang memaksa Bibi Ramjani meletak jawatan. FOTO Ihsan Pembaca
Attirmidzie Rahman


PENYOKONG Kelantan semakin hilang sabar dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila wujud sekumpulan penyokong menaikkan kain rentang serta poster memaksa beberapa individu dalam badan induk itu mengundur diri.

Tinjauan mendapati kain rentang dan poster terbabit dinaikkan di sekitar bandar Kota Bharu, Pasir Mas serta di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, hari ini.

Pada kain rentang terbabit terdapat nama Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bersama individu bernama Syed Abdullah Syed Mahmood yang didesak berundur diri daripada menguruskan badan induk itu.

Seorang penduduk di Bandar Baru Pasir Mas enggan dikenali berkata, kain rentang terbabit dinaikkan di persimpangan lampu isyarat berdekatan rumahnya oleh beberapa individu malam tadi.

"Kelmarin, tiada lagi sebarang kain rentang atau poster di simpang tiga itu dan kemungkinan dinaikkan pada sebelah malam," katanya.

Bibi Ramjani, seorang usahawan wanita menawarkan diri memegang jawatan presiden dalam bolasepak Kelantan dan memenangi kerusi terbabit pada Kongres Tahunan KAFA ke-63 pada 2017.

Sejak dilantik, Bibi Ramjani melakukan beberapa tindakan drastik dalam pasukan dan merombak sebahagian besar pemain dengan menaikkan 'pangkat' pemain muda untuk beraksi dengan skuad The Red Warriors (TRW).

Dalam tempoh dua musim mengambil alih pasukan sehingga kini, beliau juga cuba menyelesaikan hutang lapuk yang ditanggung badan induk itu.

Bagaimanapun, krisis dalaman bolasepak negeri itu menjadi semakin kritikal berikutan prestasi hambar pasukan yang gagal memikat hati penyokong Kelantan ketika ini.

Kelantan kini menghuni kedudukan yang terakhir saingan Liga Perdana musim ini memerlukan sesuatu perubahan drastik untuk menyelamatkan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 3:46 PM