Bottas (tengah) bersama Hamilton (kiri) dan Vettel (kanan). FOTO REUTERS
AFP

VALTTERI Bottas meraih kedudukan petak utama di depan rakan sepasukan, Lewis Hamilton sekaligus membolehkan Mercedes mengesahkan kedudukan barisan depan untuk perlumbaan Grand Prix Azerbaijan, hari ini.

Dalam saingan litar laluan bandar Baku yang mencabar kemahiran, pemandu Finland itu merakam masa sepusingan terpantas 1 minit 40.495 saat untuk mengatasi pendahulu kejuaraan dan juara bertahan itu dengan 0.059 saat.

Sebastian Vettel yang memandu Ferrari di tempat ketiga manakala rakan sepasukan yang muncul pemandu terpantas sesi latihan, Charles Leclerc terkeluar selepas merempuh tembok pada sesi kelayakan kedua.

Sesi kelayakan musim ini dicemari insiden dan tempoh yang dipanjangkan akibat pelbagai masalah di litar.

Selain Leclerc, pemandu Williams, Robert Kubica juga melanggar tembok pada sesi kelayakan pertama.

“Saya gembira dengan pencapaian ini,” kata Bottas.

“Ia pusingan yang menyeronokkan dan Ferrari sangat kuat. Charles terkeluar disebabkan kesilapan dan sebagai pasukan, kami berasa sangat gembira berada pada kedudukan sekarang. Semuanya dengan jurang yang rapat.”

Max Verstappen akan berlepas daripada petak keempat untuk Red Bull di depan Sergio Perez (Racing Point), Daniil Kvyat (Toro Rosso) dan pemandu rookie Britain, Lando Norris (McLaren).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:54 PM