AZIZULHASNI beraksi di pentas Olimpik buat kali keempat berturut-turut. FOTO/NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang mengakui sedih sekiranya dua rakan sepasukan terpaksa berputih mata layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama pada tahun depan.

The Pocketrocketman dijangka tampil buat kali keempat berturut-turut di pentas Olimpik sejak Beijing 2008 namun Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis mengintai peluang untuk tampil buat kali pertama.

"Kami masih berpeluang...kami perlu menang emas Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan penghujung tahun ini selain konsisten sekurang-kurangnya menduduki tempat keenam di dua atau tiga siri Piala Dunia bagi mencerahkan peluang.

"Saya lihat mereka memang mempunyai keazaman yang tinggi untuk ke Olimpik. Saya akan bantu mereka tampil di Olimpik buat kali pertama.

"Saya akan sedih sekiranya mereka tidak berjaya namun pada masa yang sama perlu fokus kepada acara individu," katanya.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 dengan 1,450 mata dalam ranking kelayakan Olimpik bagi acara pecut berpasukan.

Hanya lapan pasukan terbaik selepas Kejohanan Dunia pada tahun depan akan menempah slot ke Tokyo bagi pecut berpasukan.

Trio berkenaan yang dibentuk ketua jurulatih, John Beasley dilihat berpotensi selepas meleburkan rekod kebangsaan berusia 10 tahun semasa meraih pingat perak di Sukan Asia 2018.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik dalam pecut berpasukan adalah pada 2008 menerusi gandingan Azizulhasni, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:30 PM