Pemain Ajax Amsterdam menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Erik Ten Hag (tiga kiri) di Stadium Tottenham Hotspur, London. FOTO Reuters.
Reuters

SIMPATI akan masalah kecederaan yang membelenggu skuad Tottenham Hotspur tidak berada dalam fikiran pengurus Ajax Amsterdam, Erik Ten Hag menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Tuan rumah, Tottenham beraksi tanpa kelibat beberapa tonggak termasuk penyerang, Harry Kane dan Son Heung-min untuk perlawanan di utara London dan terpaksa mengharungi pertembungan derby menentang West Ham United pada Sabtu lalu sementara Ajax mendapat rehat secukupnya.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino berkata Ajax memiliki kelebihan kerana seluruh program Liga Belanda ditangguhkan bagi memberi laluan kepada skuad kendalian Ten Hag melakukan persiapan.

Kata-kata itu jelas membuatkan pengendali dari Belanda itu kurang senang sebelum menolak pendapat yang menyatakan skuad kendaliannya adalah pasukan pilihan.

“Kami memperoleh 10 juta euro (RM46.23 juta) untuk bermain di Eredivisie (Liga divisyen satu Belanda) dan berapa yang mereka dapat untuk bermain di Liga Perdana Inggeris. Adakah ia tidak adil untuk kami?” kata jurulatih berusia 49 tahun itu pada sidang media.


Jurulatih Ajax, Erik Ten Hag. FOTO AFP.

“Keadaan sentiasa berbeza. Semua orang mempunyai perbezaan pendapat. Kamu hanya perlu menerimanya. Itulah yang kami lakukan.”

Pemain tengah Donny van der Beek, yang menjadi antara tonggak muda juara empat kali Ajax mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 1997 mengakui perjalanan mereka bermula musim panas lalu.

Ajax memulakan kempen di kelayakan kedua menentang kelab Austria, Sturm Graz pada Julai dan kemudian menewaskan Standard Liege untuk mara ke playoff sebelum mengatasi Dynamo Kiev.

Mereka diundi dalam kumpulan yang turut mengandungi, Bayern Munich tetapi muncul sebagai pasukan yang tidak kalah di peringkat berkenaan sebelum menewaskan Real Madrid di pusingan 16 terbaik dan juara Itali, Juventus di suku akhir.

Selain di pentas final, Ajax turut bersaing sengit dengan PSV Eindhoven bagi pemburuan gelaran Liga Belanda.

“Ia berjalan agak pantas,” kata Van der Beek. “Spurs pasukan yang hebat dengan pemain yang menakjubkan jadi kami perlu berada di tahap yang sama atau lebih seperti kami bermain menentang Real dan Juventus pada dua aksi sebelum ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 10:13 AM