VAN de Beek (kiri) merembat bola melepasi penjaga gol Hugo Lloris bagi jaringan tunggal perlawanan di Stadium Tottenham Hospur, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

AJAX Amsterdam mengorak langkah untuk layak ke final Liga Juara-Juara pertama dalam tempoh 23 tahun apabila gol awal Donny van de Beek membantu kemenangan 1-0 di Tottenham Hotspur pada separuh akhir pertama di London, awal pagi tadi.

Pasukan muda Ajax kendalian Erik ten Hag, menampilkan beberapa pemain yang diasah bakat mereka di akademi kelab ternama Belanda itu, terlalu bertenaga buat Spurs yang langsung tidak membuat percubaan dalam 25 minit pertama pada aksi separuh akhir Piala Eropah pertama mereka dalam tempoh 57 tahun.

Susulan dominasi Ajax pada awal aksi, mereka semakin hampir memastikan tempat di final – namun mereka hanya terpaksa bergantung kepada gol Van de Beek pada minit ke-15.

Tottenham amat terasa kehilangan khidmat penyerang yang cedera Harry Kane dan Son Heung Min yang digantung perlawanan dan mereka hanya mampu melakukan satu percubaan tepat sepanjang aksi.


PEMAIN Tottenham, Ben Davies (kiri), Christian Eriksen (tengah) dan Victor Wanyama sugul selepas perlawanan di London. — FOTO Reuters

Jika percubaan David Neres tidak terkena tiang gol pada lewat aksi ia mungin menyukarkan lagi tugas anak buah Mauricio Pochettino.

Lantas mereka akan bertandang ke Amsterdam minggu depan dengan sekelumit harapan, sekalipun hanya satu kelab pernah layak ke final dengan mengatasi defisit kekalahan di laman sendiri pada aksi pertama.

“Gol di tempat lawan paling penting. Sayangnya percubaan Neres terkena palang gol. Jika ia masuk, pasti lebih bagus,” kata kapten Ajax berusia 19 tahun, Matthijs de Ligt.

“Tapi kami harus berpuas hati dengan keputusan 1-0. Ia pertarungan sukar tapi kami bertuah malam ini kerana persembahan mantap.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:12 AM