KEVIN Ramalingam
Firdaus Hashim


PETALING JAYA: Siapa hutang siapa sebenarnya? Itu persoalan yang dibangkitkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam berkenaan tuduhan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bahawa penganjur liga bola sepak tempatan itu berhutang dengan beberapa pasukan.

Kevin juga menangkis tohmahan berkenaan, malah menegaskan FAS yang dipimpin Datuk Posa Majais berhutang lebih banyak daripada MFL.

“Sebelum ini kita sudah memberikan penjelasan berkaitan insurans dan lampiran akaun kewangan yang beraudit.

“Kita mahu jelaskan sudah tentu jika ada tuduhan berkaitan dengan tiada pembayaran perlawanan rasmi, kami akan mengeluarkan bukti-bukti yang perlu.

“Namun bagi saya, ia (kritikan) tidak akan berhenti di situ saja kerana selagi seseorang itu cuba untuk menaikkan sesuatu isu, beliau akan mencari isu lain tetapi apa yang kita nampak hanya satu kenyataan tidak berasas dan berlandaskan emosi, ” katanya ditemui di sini, semalam.

Berdasarkan rekod, MFL mengakui tidak melunaskan tuntutan kos perjalanan pengadil bernilai RM33,726.54 kepada FAS memandangkan persatuan itu memiliki hutang lebih tinggi kepada MFL berikutan belum melunaskan hutang levi sebanyak RM34,924.70 pada tahun lalu.

Hutang FAS dengan MFL terus meningkat tahun ini kerana belum membayar levi sebanyak RM48,547.30 sedangkan bayaran tuntutan kos perjalanan pengadil FAS hanya berjumlah RM20,575.34.

Kevin turut menegaskan MFL tidak sesekali melepaskan tanggungjawab sebagai pengendali liga terhadap bola sepak Sarawak biarpun Posa bertindak mengkritik kredibiliti MFL secara terbuka di akhbar tempatan.

Biarpun tindakan Posa itu boleh mengundang hukuman di atas kesalahan memberikan perspektif buruk kepada Liga Malaysia yang secara tidak langsung memberi kesan kepada rakan kongsi lain, Kevin memberitahu terpaksa ‘mengalah’ kerana bola sepak Sarawak memiliki potensi cukup besar dan masa depan cerah.

Selain itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony turut mempersoalkan kredebiliti MFL dan mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali diberikan kuasa penuh bagi mengendalikan liga bola sepak profesional di negara ini.

Sementara itu, kemelut antara FAS dan MFL akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL, sekali gus merungkai dan mengatasi kelemahan yang ada.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, suatu pertemuan tertutup diadakan bersama Presiden FAS, Datuk Posa Majais bagi mengetahui isu sebenar yang dibangkitkan Posa baru-baru ini.

“Hasil kesepakatan bersama yang dicapai pada hari ini (semalam), Posa akhirnya akur untuk isu-isu yang dibangkitkannya itu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya ia dapat diselesaikan menerusi semangat solidarity (perpaduan) sesama keluarga bola sepak Malaysia.

“Selain menerima dan menuruti segala nasihat berkaitan bola sepak, Posa turut menyatakan bahawa selaku presiden salah sebuah ahli gabungan FAM, beliau akan terus memastikan FAS kekal menyokong FAM,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:01 AM