ERIKSEN (tengah) dan Toby Alderweireld (kanan) bersaing dengan pemain Ajax, Dusan Tadic. — FOTO EPA
AFP

CHRISTIAN Eriksen mengakui Tottenham bermain jauh di bawah tahap sebenar ketika Ajax menang 1-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Anak buah Mauricio Pochettino gagal memberi cabaran pada babak pertama di Stadium Tottenham Hotspur dan ketinggalan susulan rembatan Donny van de Beek pada minit ke-15.

Tottenham bertindak lebih baik pada babak kedua namun Ajax tetap mantap dan patut menambah gol kedua apabila percubaan David Neres singgah di tiang gol pada lewat aksi.

Perancang tengah dari Denmark, Eriksen antara bintang Tottenham yang gagal menyerlah dan dia mengakui ia jauh daripada persembahan terbaik mereka.


ERIKSEN (dua kiri) mengucapkan tahniah kepada Tadic selepas perlawanan. — FOTO Reuters

“Kami di bawah tahap sebenar, kami tidak mempamerkan aksi terbaik. Dalam 20 minit pertama, kami hanya menyaksikan bola. Kami perlu mengubahnya bagi perlawanan berikutnya,” kata Eriksen.

“Kami menjadikan mereka kelihatan lebih bagus. Mereka pasukan yang bagus, tapi kami turut membantu mereka. Ia kesilapan kami. Kami lebih bagus pada babak kedua.

“Tiada siapa mahu bermain babak pertama seperti kami lakukan. Setiap orang tahu kami tidak bersaing. Kami masih kalah, tapi kami lebih bagus pada babak kedua.”

Cabaran Tottenham longlai dengan ketiadaan penjaring terbanyak yang cedera Harry Kane dan penyerang yang digantung perlawanan Son Heung Min namun Eriksen tidak mahu ia dijadikan alasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:28 AM