CAMARA (kanan) bersaing dengan Kimpembe pada aksi Ligue 1 di Montpellier, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

KEMEROSOTAN Paris Saint-Germain pada hujung musim berterusan awal pagi tadi ketika juara Ligue 1 itu dua kali mensia-siakan pendahuluan sebelum kalah 2-3 di Montpellier, tiga hari selepas tewas secara dramatik pada final Piala Perancis.

Souleymane Camara meledak gol kemenangan Montpellier lima minit sebelum tamat selepas Leandro Paredes melakukan kesilapan dalam kawasan penaltinya sendiri.

Sebelum itu, gol sendiri Presnel Kimpembe membolehkan Montpellier menyamakan kedudukan selepas gol sendiri Ambroise Oyongo turut memberikan PSG gol pendahuluan.

Angel Di Maria meletakkan pelawat kembali di depan namun Andy Delort menjadikan kedudukan 2-2 sebelum Camara memastikan tiga mata.

PEMAIN PSG, Di Maria (kiri) melarikan bola daripada dirampas Matias Suarez. — FOTO Reuters

PSG merangkul kejuaraan keenam liga dalam tujuh musim seminggu lalu, namun kekalahan itu bermakna mereka hanya menang sekali dan kalah tiga dalam lima aksi terakhir liga.

“Kami melakukan kesilapan individu, terlalu banyak dan ia satu kesilapan besar,” ujar jurulatih Thomas Tuchel.

“Dalam keadaan ini sukar untuk memenangi perlawanan di Montpellier, yang amat kuat dan agresif ketika bertahan.”

Kekalahan terkini akan meningkatkan tekanan buat Tuchel, masa depannya dipersoalkan kerana kemerosotan di pertandingan domestik susulan disingkirkan oleh Manchester United dalam Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 10:07 AM