MESSI (kiri) berlatih dengan Suarez di Ciutat Esportiva Joan Gamper, Barcelona, semalam. — FOTO Reuters
AFP

JUERGEN Klopp memberi amaran kepada pemainnya mereka tidak boleh menumpukan usaha untuk mengekang Lionel Messi sahaja apabila Liverpool berdepan Barcelona pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Messi direhatkan bagi dua aksi terakhir Barca dalam liga dan jelas lebih bermotivasi di Eropah, selepas berjanji untuk “membawa pulang trofi cantik itu ke Nou Camp” pada awal musim ini.

“Ia bukan hanya mengenai Messi tapi sudah tentu ia mengenainya juga,” kata Klopp pada sidang media awal pagi tadi.

“Bolehkah kami menumpukan terhadap Messi? Kami patut melakukannya tapi jika kami hanya menumpukan kepadanya, ada 10 lagi pemain bertaraf dunia yang boleh menentukan keputusan perlawanan.


KLOPP ketika sidang media di Barcelona awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Messi kata sebelum musim ini, ‘kami mahu membawa piala itu pulang’. Ia seperti satu ancaman buat saya. Kini kami melakukannya, kini kami berada di sini dan apa yang boleh saya katakan kami juga mahu ke final.”

Liverpool berharap penyerang mereka kembali bagi aksi pertama, selepas Roberto Firmino berlatih susulan pulih daripada kekejangan otot.

“Jika dia 100 peratus bersedia, dia mungkin turun bermain,” kata Klopp. “Dia berada di sini. Esok kami ada satu lagi sesi.”

Messi dijangka bergandingan dengan dua bekas pemain Liverpool, Luis Suarez dan Philippe Coutinho yang mungkin bermula dalam kesebelasan utama dengan tiga pemain serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 10:27 AM