Muhammad Azeem mencipta sejarah mencatat rekod dalam lariannya. FOTO NSTP.
Azlan Muhammad Zain


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bertindak segera dalam menggilap bakat Usain Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi apabila sudah memberikan tiga pilihan kepada jaguh pecut remaja itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, atlet berusia 15 tahun berkenaan diberikan pilihan sama ada mahu menjalani latihan di luar negara, berpindah ke Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil atau kekal di Perak.

"KBS sudah merancang tiga pilihan kepadanya. Saya bertemu Azeem dan jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah minggu lalu serta menyuarakan tiga pilihan kepadanya iaitu dihantar menjalani latihan luar negara atau ke MSN Bukit Jalil supaya bantuan penuh dan terbaik termasuk dalam aspek sains sukan.

"Namun sekiranya Azeem masih mahu kekal di Perak, kita tetap memberikan bantuan penuh kepadanya. Terpulang kepadanya membuat keputusan kerana saya dijangka mendapat jawapan daripada pihaknya dalam tempoh satu minggu dari sekarang," katanya.

Azeem menarik perhatian selepas menggegar di pentas antarabangsa dan tempatan pada saingan peringkat umur dengan kini tumpuan terarah kepada perancangan masa depannya untuk membolehkan dia menjadi pelari pecut yang menyerlah di peringkat elit.

"Ia memerlukan perbincangan antara dirinya dengan jurulatih serta ibu bapa. Saya turut memberi tawaran untuk membawa jurulatihnya bersama ke MSN kerana jasa yang besar sudah dilakukannya dengan melahirkan Azeem pada usia yang muda. Ia adalah satu rahsia, jadi kita mahu menariknya sekali," tambahnya.

Syed Saddiq memuji komitmen dan pengorbanan Amir Izwan yang terpaksa berulang-alik dari Teluk Intan ke Ipoh bagi menjalankan tugasnya.

"Bayangkan setiap hari beliau mengharungi perjalanan selama dua jam setengah untuk ke tempat latihan. Malah beliau tidak mempunyai masalah sekiranya KBS mahu menghantar Azeem ke luar negara kerana keutamaannya adalah kepada anak didiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:18 PM