Mohd Asmirul Anuar Aris. FOTO NSTP
Pemain Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (dua kiri) melakukan rembatan ke arah kubu Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
Siti Nur Mas Erah Amran
maserah.amran@nstp.com.my


KEJAYAAN menumpaskan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, minggu lalu, diharap menjadi inspirasi kepada pemain Helang Merah untuk kembali bangkit dan mengekalkan momentum kemenangan pada aksi seterusnya.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata pihaknya masih berpuas hati dengan persembahan yang dipamer pasukan setakat ini.

Katanya, berlaku perubahan pada taktikal dan corak permainan Kedah yang lebih kemas seperti disaran ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak ketika menentang Kuala Lumpur.

“Pemain dan pasukan mengambil positif teguran diberikan dan mereka kini sedang belajar untuk membaca taktik permainan pihak lawan.

“Dua penyerang import kita juga menunjukkan prestasi yang baik dalam dua perlawanan sebelum ini dan saya harap mereka dapat kekalkan corak permainan untuk aksi seterusnya,” katanya.

Kedah menewaskan Kuala Lumpur 5-2 pada aksi memukau di hadapan hampir 15,000 penyokong setia Hijau Kuning di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Sebelum ini, peminat Helang Merah menyuarakan keresahan selepas aksi pasukan yang tidak konsisten apabila kemenangan kali terakhir dicatat pada perlawanan menentang Terengganu FC 3-0 pada 12 April lalu.

Sementara itu, Mohd Asmirul turut meminta peminat untuk terus tampil memberikan sokongan padu kepada pasukan terbabit.

“Kehadiran penyokong cukup penting malah amat diperlukan bagi memberi motivasi kepada pemain yang sedang berjuang untuk tampil sebagai pasukan terbaik.

“Saya mengharapkan sokongan berterusan bagi perlawanan seterusnya nanti,” katanya.

Kedah bakal menghadapi Selangor dalam Liga Super di Stadium Shah Alam pada 15 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 5:41 PM