Nazmizan berharap Azeem (kiri) dan Khairul (kanan) dapat berlatih di luar negara. FOTO NSTP
Nazmizan berharap Azeem (kiri) dan Khairul (kanan) dapat berlatih di luar negara. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan tidak harus rasa kecewa apabila tumpuan kini lebih terarah kepada pelari muda berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi tawaran kepada pelari muda, Azeem disokong oleh bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad.

Nazmizan berkata, tawaran daripada KBS itu kepada pelari itu adalah satu langkah bijak kerana pelari berasal dari Perak itu mampu menjadi permata yang menyinar di kemudian hari.

"Khairul Hafiz jangan kecewa jika tumpuan kini ke arah Azeem. Jika mahu layanan yang sama, Khairul perlu buktikan kemampuan.

"Khairul perlu buktikan dia masih yang terbaik biarpun prestasi merudum selepas temasya Komanwel tempoh hari," katanya.

Bagaimanapun adalah lebih baik sekiranya KBS mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu menghantar Azeem bersama-sama Khairul Hafiz ke luar negara menjalani latihan bersama.

"Selain Azeem dan Khairul Hafiz, kita masih banyak pelari bagus. KBS seharusnya tidak menidakkan peluang pelari yang lain.

Jika boleh hantar mereka sekali ke luar negara.

"Namun jika faktor bajet menjadi kekangan mungkin boleh menghantar Azeem bersama Khairul Hafiz saja dulu.

"Azeem untuk jangka masa panjang manakala Khairul Hafiz sebagai persediaan ke Sukan SEA," kata Nazmizan.

Terdahulu, Azeem diberi tempoh seminggu menyatakan pendiriannya terhadap tiga tawaran yang dikemukakan oleh KBS.

Tiga tawaran itu adalah berlatih di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil sambil diberikan segala kemudahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atau pun kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut citarasanya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 10:37 PM