KETUA Jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh. FOTO Eizairi Shamsudin

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh yakin barisan pemainnya sedia bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dialami skuad itu ketika ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kekalahan dalam saingan suku akhir pertama Piala FA dan Liga Super bukanlah bermakna pasukan kendaliannya sedang berdepan masalah dalaman atau ada isu lain, tapi ia lebih kepada kelemahan pemain dalam berdepan asakan pasukan lawan.

“Kita boleh lihat, persembahan mereka (pemain) agak mengecewakan dan masalahnya mungkin disebabkan pemain yang terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan.

“Ini bukan bermakna, kita tidak boleh perbaiki kelemahan yang ada... masih ada ruang untuk kita bangkit dan pamerkan corak permainan lebih baik selepas tempoh rehat Liga Super berakhir,” katanya.

Kelmarin, skuad Tok Gajah tewas 0-2 kepada PJ City FC yang juga kekalahan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Sebelum itu, pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) 1 Mei lalu, Pahang tewas 1-2 dan perlu menang apabila kedua-dua bertemu pada suku akhir kedua, Jumaat ini.

Ketiadaan penyerang import, Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan hamstring jelas menjejaskan jentera serangan skuad Tok Gajah itu.

Gandingan Jose Eduardo dan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan dilihat belum cukup kuat untuk merobek kubu lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:56 PM