Skip this ad x
PEMAIN dan pegawai Liverpool meraikan kemenangan bersama peminat di Anfield. — FOTO Reuters
AFP

PEMAIN legenda Liverpool, Robbie Fowler dan Michael Owen menyanjung kebangkitan menakjubkan bekas kelab mereka pada separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona sebagai malam Eropah paling gemilang di Anfield.

Pasukan kendalian Juergen Klopp mengatasi defisit 0-3 pada aksi pertama untuk layak ke final dengan kemenangan besar 4-0 ke atas juara Sepanyol itu, awal pagi tadi.

Kejayaan itu satu daripada catatan terbaik dalam sejarah Liga Juara-Juara dan Fowler percaya ia patut dilabel sebagai kemenangan terhebat Liverpool di Eropah di stadium lama yang terkenal itu.

Penyerang itu menganggap kejayaan Liverpool mengecewakan Lionel Messi dan rakannya lebih bagus berbanding kemenangan suku akhir Piala Eropah ke atas St Etienne pada 1977, yang dianggap aksi terbaik pertandingan itu di Anfield sebelum ini.


PENYERANG Liverpool, Divock Origi (kanan) meraikan jaringan bersama Xherdan Shaqiri selepas menyumbat gol keempat. — FOTO AFP

“Apabila anda bercakap mengenai malam terhebat, inilah yang paling hebat. Ia terlalu mengagumkan,” kata Fowler yang dilahirkan di Liverpool kepada BT Sport.

“Sebelum perlawanan, kami bercakap mengenai semua pujian melambung mengenai Messi. Kini kami kehilangan kata-kata mengenai Liverpool.

“Saya terlalu bangga dan gembira menjadi sebahagian daripada Liverpool. Setiap perkara mengenai Liverpool malam ini terserlah.”

Bekas rakan serangan Fowler, Owen memuji anak buah Klopp susulan musim mereka yang mengagumkan, yang mungkin berkesudahan dengan kegemilangan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2005.


KEJAYAAN terakhir Liverpool di Istanbul pada 2005. — FOTO Agensi

Liverpool turut berpeluang memenangi Liga Perdana Inggeris ketika mereka ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Manchester City menjelang pusingan terakhir musim Ahad ini.

“Hanya bola sepak boleh melakukannya. Satu musim yang amat mengagumkan dan ia belum berakhir lagi,” jelas Owen.

“Gelanggang ini sudah menyaksikan beberapa malam menakjubkan, malam Eropah dan ia mungkin yang terbaik.”

Bekas pemain sayap Liverpool, Luis Garcia menyertai pujian terhadap wira pasukan itu.

“Saya pernah melihat kebangkitan sebegini!” tulis Garcia dalam Twitter, merujuk kepada sumbangannya ketika ‘Keajaiban Istanbul’ mengatasi AC Milan pada 2005, apabila mereka bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk memenangi final Liga Juara-Juara menerusi penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 9:22 AM