Coquelin mahu tewaskan bekas pasukannya. FOTO REUTERS
AFP

FRANCIS Coquelin memberi amaran kepada bekas kelabnya, Arsenal bahawa Valencia bersedia mempamer kebangkitan pada separuh akhir kedua Liga Europa di Valencia, awal pagi Jumaat ini.

Valencia ketinggalan 1-3 menjelang aksi di Stadium Mestalla selepas dua jaringan Alexandre Lacazette dan voli lewat permainan menerusi Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan Arsenal memiliki kelebihan perlawanan itu.

Coquelin digantung pada perlawanan pembukaan di Stadium Emirates tetapi akan kembali berdepan kelab itu pernah diwakilinya selama 10 tahun selepas menyertainya pada usia 17 pada 2008.

“Ia pasti akan menjadi perlawanan yang memberikan perasaan istimewa apatah lagi berdepan Arsenal.

“Lagipun, saya tidak beraksi pada perlawanan pertama,” kata Coquelin.

“Sudah tentu ia juga sangat istimewa dapat mara ke final dan mencatat sejarah bersama kelab ini.”

Coquelin meninggalkan Arsenal pada Januari 2018 selepas bergelut mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah Arsene Wenger.

Bagaimanapun, pemain Perancis itu kembali beraksi dengan baik musim ini selepas diberikan peranan pemain tengah kreatif oleh Marcelino.

Biarpun Unai Emery hadir sebagai jurulatih baru Arsenal, kelemahan beraksi di tempat lawan masih berterusan.

Rekod di tempat lawan Arsenal adalah ke-10 terbaik dalam kalangan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Beraksi di tempat lawan mereka menjadi satu pasukan lain,” kata Coquelin.

“Mereka tercicir mata, tidak padat dan bermakna kami boleh menjaringkan gol dengan ketajaman serangan kami miliki.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:12 PM