SRAM masih memerlukan khidmat Nafiizwan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) masih mengharapkan sentuhan daripada pemain senior negara, Nafiizwan Adnan biarpun pemain itu sudah mengumumkan persaraannya daripada arena skuasy antarabangsa.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, S Maniam berkata, khidmat Nafiizwan yang membantu skuad negara meraih emas di temasya Sukan Asia yang lalu dalam acara berpasukan ditagih untuk membantu SRAM dalam pembangunan sukan itu di negara ini.

Bagaiamanapun Maniam ketika ditemui berkata, hingga ketika ini belum ada surat rasmi diterima daripada pemain berusia 33 berhubung hasratnya untuk menggantung raket.

"Saya harap, Nafiizwan akan kembali bersama SRAM menabur baktinya sebagai jurulatih untuk membantu program SRAM.

"Namun dia belum lagi mengatakan sebarang keputusan dan jika perkara itu sudah mencapai kata muktamad saya akan maklumkan kepada semua," katanya.

Dalam perkembangan lain Maniam berkata, beliau tidak bimbang biarpun dua pemain utama negara, Datuk Nicol David dan Nafiizwan mengumumkan persaraannya.

Ia berikutan barisan pemain sedia ada terdiri daripada Low Wee Wern, S Sivasangari, Ng Eain Yow menunjukkan peningkatan.

Begitupun Maniam mengakui bahawa sukar bagi pemain negara mengapai apa yang dilakukan oleh Nicol dalam masa terdekat.

Sementara itu, Maniam mengingatkan kepada pemain untuk membuktikan pencapaian masing-masing sekiranya ingin menyertai lebih banyak kejohanan.

"Kebenaran menyertai kejohanan akan diberikan berdasarkan pencapaian.

Jika pemain beraksi dengan baik mereka boleh memohon menyertai lebih banyak kejohanan.

"Begitulah sebaliknya, kurang menyerlah maka kurang pertandingan yang akan disertai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:52 PM