Balqis Jazimah Zahari


PERAK mengumumkan dua pemain import baharu bagi memperkuat pasukan The Bos Gaurus dengan kehadiran dua pemain dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva, 28 dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) 23.

Pengumuman dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Ahmad Faizal Azumu pada sidang media di pejabatnya di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kehadiran kedua-dua pemain berkenaan turut mengesahkan dua import sedia ada, Gilmar da Silva dan Wander Luiz tidak lagi beraksi untuk Perak bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Beliau turut mengharapkan kedua-dua pemain ini dapat membantu pasukan The Bos Gaurus kendalian Mehmet Durakovic kembali ke landasan yang tepat dan mencapai sasaran empat terbaik dalam saingan liga musim ini.

“Dalam usaha memperkukuhkan pasukan Perak bagi mengharungi pertandingan musim ini pihak pengurusan membuat keputusan untuk menggugurkan seorang pemain import posisi penyerang iaitu Gilmar Jose Da Silva Filho.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Gilmar yang membantu pasukan membawa pulang Piala Malaysia pada musim lalu tetapi hasil perbincangan bersama pengurusan dan Gilmar, demi memantapkan dan kebaikan pasukan kita perlu mengugurkannya.

Wander Luiz menarik diri disebabkan masalah kesihatan anak beliau yang berada di negara kelahirannya di Brazil,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemain berkenaan mempunyai kontrak selama enam bulan dan kedua-duanya tidak mempunyai masalah untuk diturunkan bagi perlawanan Piala FA Suku Akhir Kedua Sabtu ini.


RONALDO (kiri) dan Careca ganti Gilmar dan Wander Luiz. -Foto MUHAIZAN YAHYA

“Kita berharap dengan termeterainya perjanjian antara kedua pemain ini, ia dapat memantapkan lagi pasukan kita dan berjaya mengharungi baki perlawanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal menafikan khabar angin pemain, Zac Anderson akan digugurkan daripada pasukan negeri itu.

“Saya tidak pernah berbincang dengan jurulatih tentang samada hendak mengugurkan Zac Anderson, dia sebagai pemain penting untuk di posisi pertahanan,” katanya.

Ahmad Faizal turut mengulas berkenaan ura-ura kemasukan pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli ke dalam pasukan negeri itu.

“Jurulatih (Mehmet Durakovic) pernah menyuarakan kepada saya sendiri tentang hasrat beliau untuk menantangani beberapa pemain, pemain yang beliau minati ini ramai tetapi cuma kita boleh mengambil pemain import mengikut kuota dan peraturan.

“Faris Ramli salah satu daripadanya tetapi ianya perlu melalui beberapa proses.

Kita perlu menghormati pasukan sedang diwakili oleh Faris dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil pemain pasukan lain tanpa kita melakukan perbincangan secara formal.

Pengurusan pasukan negeri respek dengan tidak boleh mendedahkan terlebih dahulu kerana ianya seakan tidak menghormati pasukan yang sedang beliau wakili,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 3:33 PM