GIROUD diasak pemain Eintracht Frankfurt, Martin Hinteregger. - FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG Chelsea, Olivier Giroud berkata, adalah sesuatu yang istimewa apabila berpeluang bertemu bekas kelabnya, Arsenal di final Liga Europa tetapi penggempur Perancis itu tegas mengatakan dia tidak akan terbawa-bawa dengan emosi apabila kedua-dua pasukan berentap di Baku, 29 Mei nanti.

Chelsea terpaksa mengharungi masa tambahan serta penentuan penalti sebelum menang 4-3 ke atas Eintracht Frankfurt untuk ke final, awal pagi tadi manakala Arsenal selesa dengan agregat 7-3 ke atas Valencia.

Giroud yang mengharungi lebih lima musim di Emirates menyertai Chelsea pada Januari 2018 dan pernah dua kali tampil menentang bekas kelabnya itu tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Pemain berusia 32 tahun itu menggantung tuah pada penampilan ketiga kali ini untuk menggegarkan gawang Gunners.

“Memang benar saya dilayan dengan baik sepanjang menyarung jersi Arsenal. Sebagai pemain, anda perlu berdepan situasi seperti ini,” kata bekas pemenang Piala Dunia bersama skuad Perancis itu.

“Ia menjadi saat yang akan saya kenang sampai bila-bila tetapi pada pertemuan kali ini, saya akan melupakan siapa lawan saya.”

Giroud menjaringkan 105 gol buat Arsenal dalam semua pertandingan dan sudah meledak 10 gol bersama Chelsea dalam saingan Liga Europa musim ini sekali gus berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak. Bagaimanapun, dia gagal menambah koleksinya ketika dua aksi separuh akhir menentang Frankfurt.

“Ia bukan aksi terbaik saya (menentang Frankfurt) tetapi saya akan terus mencuba dan melakukan apa saja untuk pasukan. Saya akan menjalani latihan seperti biasa dan membuktikan kepada jurulatih bahawa saya sedia untuk diturunkan,” katanya.

Giroud yang akan menamatkan kontraknya hujung bulan depan, dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain tetapi dia mengaku masih belum pasti mengenai hala tujunya selepas ini.

Kontraknya bagaimanapun memiliki klausa membolehkan Chelsea terus menggunakan khidmatnya selama setahun jika Blues mahu berbuat demikian.

Liga Europa memberi peluang buat Giroud untuk menambah koleksi piala kepada dua sepanjang berada di Stamford Bridge.

Blues menamatkan saingan Piala Liga selaku naib juara selepas dikalahkan Manchester City, Februari lalu tetapi Giroud antara pemain yang menjulang Piala FA musim lalu ketika di bawah bimbingan Antonio Conte.

“Saya sudah berusia 32 tahun dan masih mengharapkan kejuaraan. Kami mahu melakar sejarah, saya mahu memenangi piala kedua bersama Chelsea. Kami memiliki pasukan yang bagus dan kami berhak untuk memenangi sesuatu.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:41 PM