PEMAIN import Kedah, Fernando Rodriguez (kanan) berebut bola dengan pemain PKNS FC, Rodney Celvin di Stadium Darul Aman. - FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap pencapaian pasukannya yang mengikat PKNS FC 1-1 dan mara ke separuh akhir Piala FA menerusi agregat 4-2 sebagai satu kejayaan tidak mudah dicapai tanpa kerjasama dan semangat tinggi semua pemain.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain saya dan kami bersyukur kerana akhirnya berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala FA kali ini."

"Pemain bertindak dengan baik walaupun tidak memenangi perlawanan ini kerana kami tahu PKNS sebuah pasukan yang bagus dan memilki disiplin tinggi ketika bertahan dan menyerang dan kami menghormati keupayaan mereka dengan percaturan dilakukan ketua jurulatih Datuk K Rajagopal."

"Sebelum perlawanan ini kami juga tahu bakal menghadapi perlawanan sengit tambahan pula beraksi dalam bulan puasa namun itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana kedua-dua pasukan juga melalui perkara yang sama.

Aidil mengakui skuadnya tidak memberi saingan pada awal perlawanan dan hanya beraksi dengan lebih baik selepas 15 minit perlawanan melalui beberapa peluang namun tidak bernasib baik untuk menghasilkan gol.

Jurulatih kelahiran Singapura berusia 41 tahun itu juga berpuas hati dengan prestasi jentera pertahanan Kedah yang turun tanpa tonggak import Renan Alves yang menjalani pengantungan kad kuning pada perlawanan itu.

"Saya lihat barisan pertahanan kami Khairul Helmi, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali dan Azmer Yusoff berkesan mengawal benteng kerana bukan mudah menyekat serangan bahaya penyerang PKNS diterajui Kpah Sherman dan kami hanya bolos melalui jaringan sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:47 PM