PEMAIN Kedah, Farhan Roslan (kanan) diasak pemain PKNS FC di Stadium Darul Aman. - FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail

PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagobal tetap berbangga dengan persembahan ditampilkan skuad Semut Merah meskipun gagal layak ke separuh akhir Piala FA selepas mencatat keputusan seri 1-1 (tewas agregat 2-4) di Stadium Darul Aman, semalam.

"Kami datang ke Kedah dengan penuh yakin dan saya fikir dari mula kami bermain dengan baik pada awal 16 minit pertama walaupun dibolosi berpunca dari serangan balas namun kami berjaya bangkit semula dan dapat menyamakan kedudukan."

"Apa yang saya suka adalah kebangkitan pemain dan selepas mendapat gol pertama saya berharap kami dapat menambah gol dan jika kami mendapat gol tambahan mungkin corak permainan akan bertukar."

"Jika diikutkan peratusan kawalan bola dan serangan dalam permainan, saya fikir PKNS bermain dengan baik, cuma melalui percubaan dan peluang yang dapat, kami gagal menjaringkan gol, itu saja."

"Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan pemain saya pada malam ini (semalam).

Rajagobal bagaimanapun turut melahirkan kekecewaan di atas penyudah yang gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan serangan .

"Kegagalan mendapatkan gol tambahan saya rasakan mungkin kerana pemain terlalu memberi harapan tinggi mencari gol kedua namun kerja keras untuk dapatkan gol itu tidak berhasil dan jika dalam situasi pemain lebih tenang, mungkin gol dapat dihasilkan," katanya.

PKNS FC bakal meneruskan cabaran dalam aksi Liga Super bertemu Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:57 PM