Zaidatul Husniah Zulkifli antara atlet olahraga dalam senarai KOM. FOTO File NSTP.
BERNAMA

SERAMAI 20 atlet olahraga negara dalam 13 acara melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA Filipina 2019 yang akan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata, dalam usaha mempertahankan lapan pingat emas yang diraih ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2017, pihaknya akan merencanakan program latihan yang sesuai.

“Bagi mempertahankan emas, kita perlu mula dengan mengumpul atlet, adakan pemilihan, meletakkan mereka mengikut disiplin, menjadualkan mereka untuk latihan dan pertandingan. Selepas itu, baru kita akan menghantar nama mereka ke Jawatankuasa Pemilihan pada akhir Jun.

“Selepas sekadar meraih tiga emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura, atlet kita mempamerkan kebangkitan dengan meraih lapan emas pada edisi 2017. Kini kita kena berusaha keras untuk sekurang-kurangnya mengekalkan jumlah emas itu,” katanya.

Menurut KOM, antara atlet yang telah layak ke Manila ialah Raja Pecut Sukan SEA 2017 Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Muhammad Aqil Yasmin dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang telah melepasi catatan masa 10.43 saat dalam acara 100 meter lelaki.

Bagi acara 200m lelaki, pemegang rekod kebangsaan baharu, Russel Alexander Nasir Taib, Jonathan serta remaja terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi telah melepasi had masa 21.26s.

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (100m wanita) dan atlet lompat kijang, R. Kirthana turut melayakkan diri.

Pemenang-pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamshuddin (lempar cakera), Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi) turut layak.

Turut layak ialah K. Prabudass (5,000m), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Tan Huong Leong, Muhaizar Mohamad (marathon), Iskandar Alwi (lompat galah) dan Muhammad Khairil Harith Harun (jalan kaki 20 kilometer).

Hanya atlet jalan kaki, Elena Goh meraih emas acara jalan kaki 10km merupakan satu-satunya pemenang pingat emas pada edisi lalu negara yang belum melepasi syarat kelayakan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 10:52 PM