X
KHAIRUL Hafiz adalah keutamaan negara ketika ini.
KHAIRUL Hafiz adalah keutamaan negara ketika ini.
Aida Adilah Mat


“JIKA Azeem (Muhammad Azeem Mohd Fahmi) enggan berlatih di luar negara, adalah lebih baik hantar Khairul Hafiz Jantan. Lagipun bajet memang sudah ada,” Itu pandangan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohammad.

Bagi Nazmizan, negara tidak akan rugi jika menghantar Khairul Hafiz apatah lagi atlet berkenaan adalah pemegang pingat emas acara 100 meter di Sukan SEA.

“Jika mahu emas yang dimenangi Khairul Hafiz itu dipertahankan, tindakan segera perlu dilakukan. Hantar Khairul Hafiz keluar negara seperti Jonathan (Nyepa) dan Zaidatul Husniah (Zulkifli) yang kini berada di Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, jika Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman benar-benar sudah memiliki bajet untuk menghantar Muhammad Azeem, dana berkenaan boleh disalurkan untuk keperluan Khairul Hafiz apatah lagi atlet itu sudah membuktikan kemampuannya di temasya Sukan SEA lalu.

Nazmizan berkata, peluang berlatih di luar negara harus diberikan kepada Khairul Hafiz kerana dia adalah keutamaan negara ketika ini apatah lagi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meletakkan sasaran untuk mempertahankan lapan emas yang dimenangi di temasya dwitahunan itu sebelum ini.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi
Muhammad Azeem Mohd Fahmi

“Nak suruh atlet menang di Sukan SEA. tapi pertandingan tak cukup. Setakat ini baru ada dua kejohanan tempatan, Terbuka Perak dan Grand Prix Malaysia.

“Macam mana atlet nak menyerlah. Nak buat catatan masa jika pertandingan tak ada. Setakat berlatih tanpa kejohanan macam mana?

“Macam Khairul Hafiz. Kita mahu dia pertahankan emas jadi keluar negara adalah jalan terbaik buat dirinya. Banyak pertandingan dia boleh sertai. Ambil ilmu dan pendedahan di sana,” katanya.

Justeru, Nazmizan berkata, adalah lebih baik bajet yang sebelum ini diperuntukkan untuk Azeem disalurkan kepada Khairul Hafiz, selepas pelari berusia 15 tahun itu menolak untuk ke luar negara dan memilih untuk kekal di Perak.

“Jangan memberi tawaran hanya kerana politik. Salurkan sedikit bantuan kewangan demi masa depan olahraga. Tapi jika asyik gunakan alasan kekangan bajet macam mana nak dapat emas,” katanya.

Beliau berkata, permintaan jurulatih Khairul Hafiz, Mohd Poad Md Kassim untuk menghantar anak buahnya itu keluar negara perlu didengari.

Jika tidak, mungkin impian untuk mendapatkan emas hanya tinggal harapan dan ketika ini masih belum terlambat untuk KOM membuat keputusan menghantar atlet terbaik ke luar negara menyertai pertandingan dan latihan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:01 AM