Nathan Redmond (kiri) meraihkan jaringan bersama rakan sepasukannya di Southampton. FOTO Reuters.

AFP

KAPTEN England Harry Kane turut berada dalam senarai awal skuad kendalian Gareth Southgate menjelang perlawanan Liga Negara-Negara bulan depan walaupun penyerang itu masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan.

Kane tidak beraksi sejak mengalami kecederaan ligamen buku lali pada aksi perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara antara Tottenham menentang Manchester City pada 11 April lalu.

Bagaimanapun, dia berharap dapat turun beraksi dalam final sulung Liga Juara-Juara Tottenham bertemu Liverpool pada 2 Jun ini.

“Dia sangat bekerja keras untuk kembali cergas untuk beraksi membantu pasukan di final. Kita harus memberi sokongan dan memantau bagaimana perkembangannya nanti,” kata Southgate.

“Jelas sekali, dia adalah antara pemain yang harus diberi peluang membantu pasukan. Rekod jaringannya mencetus fenomena yang tinggi dan dia pula adalah kapten pasukan.

“Kami akan sentiasa membuka pintu dan kami harus melihat bagaimana perkembangannya.”


Harry Kane dalam senarai skuad The Three Lions. FOTO Agensi.

England akan berdepan Belanda pada separuh akhir liga membabitkan negara-negara di Guimaraes, Portugal pada 7 Jun.

Southgate mempunyai sedikit masa untuk mempersiapkan skuadnya dengan pemain daripada pasukan Spurs dan Liverpool, begitu juga Chelsea selepas final Liga Europa menentang Arsenal yang dijangka menyertai skuad The Three Lions pada 4 Jun nanti.

Muka baru yang mendapat perhatian Southgate dalam senarai awal 27 pemain England adalah pemain Southampton, Nathan Redmond manakala pemain Chelsea, Ruben Loftus-Cheek dan Callum Hudson-Odoi terpaksa diketepikan berikutan kecederaan.

Senarai 27 Pemain England :

Penjaga gol : Jack Butland (Stoke City), Jordan Pickford (Everton), Tom Heaton (Burnley)

Pertahanan : Trent Alexander-Arnold, Joe Gomez (Liverpool), Ben Chilwell, Harry Maguire (Leicester City), Michael Keane (Everton), John Stones, Kyle Walker (Manchester City), Danny Rose, Kieran Trippier (Tottenham Hotspur)

Tengah : Dele Alli, Eric Dier, Harry Winks (Tottenham Hotspur), Jordan Henderson (Liverpool), Ross Barkley (Chelsea), Declan Rice (West Ham), Fabian Delph (Manchester City), Jesse Lingard (Manchester United), James Ward-Prowse, Nathan Redmond (Southampton)

Penyerang : Marcus Rashford (Manchester United), Jadon Sancho (Borussia Dortmund/JER), Harry Kane (Tottenham Hotspur), Callum Wilson (Bournemouth), Raheem Sterling (Manchester City)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 11:19 PM