PENGURUS Pahang FA, Datuk Suffian Awang . FOTO Farizul Hafiz Awang


SKUAD Pahang belum mengaku kalah dan tidak akan memberi laluan mudah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Liga Super musim ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, selagi musim belum berakhir, setiap pasukan masih berpeluang mencipta kemenangan dan kejutan dalam perlawanan bola sepak.

“Bola sepak adalah sukan yang selalu menghasilkan keputusan yang kita tidak sangka... saya tidak nampak peluang kita untuk mengatasi JDT sudah tertutup, musim belum berakhir lagi dan fokus utama kita adalah untuk menang.

“Jadi, kalau kita nak menang, kena ubah mentaliti semua pemain terlebih dahulu kerana kalau kita tidak bersikap atau berfikiran positif, susahlah nak jadi juara.

“Sebab itu, saya selalu ingatkan mereka (pemain) supaya kekal fokus dengan sasaran ditetapkan pasukan sejak awal musim Liga Super dan berusaha untuk kembali mendapat rentak terbaik,” katanya.

Setakat ini, skuad bimbingan Dollah Salleh sudah mengalami dua kekalahan di tangan JDT dan PJ City FC.

Kekalahan itu meletakkan skuad Tok Gajah ketinggalan lapan mata dan menghuni tangga kedua Liga.

Mohammed Suffian berkata, peluang beraksi di laman sendiri dengan melayan kunjungan Perak tidak boleh dipersia-siakan untuk kembali merekodkan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:28 PM