SYAFIQ Ahmad antara penyerang yang dipanggil Cheng Hoe perkuat skuad kebangsaan.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Ketika ramai yakin senarai kesebelasan yang dipilih pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mampu ‘menjinakkan’ Timor Leste pada aksi playoff pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 7 dan 11 Jun ini, lain pula bagi bekas pemain kebangsaan Khalid Ali yang melihat skuad kebangsaan sukar untuk berbuat demikian.

Kebimbangan terbabit tercetus apabila beliau melihat Harimau Malaya tidak mempunyai penyerang prolifik atau peledak berbahaya sekali gus sukar untuk menggegar gawang pasukan lawan nanti.

Khalid berkata, walaupun ada yang berpendapat Timor Leste adalah pasukan mudah untuk ditundukkan namun ancaman daripada mereka tidak seharusnya dipandang ringan kerana kualiti skuad kebangsaan juga semakin merudum.

“Saya lihat setakat ini tiada penyerang yang berkualiti iaitu digeruni lawan sekali gus membayangkan kemungkinan agak sukar untuk menewaskan Timor Leste.

“Jika ada penyerang pun, mereka ini jarang bermain untuk pasukan masing-masing dan ada antara mereka hanya memanaskan bangku simpanan saja. Jadi untuk meledak gol pada perlawanan nanti mungkin agak sukar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menurutnya, menerusi pembangunan dan corak bola sepak negara sekarang ini terutama membabitkan pasukan liga yang hanya bergantung kepada penyerang import sekali gus menutup peluang pemain tempatan untuk menyerlah.

“Pemain tempatan juga berkebolehan dan hebat namun jika mereka ini kurang mendapat peluang bermain, mereka boleh berkarat dan jika diturunkan mewakili negara, pasti akan tempang.

“Kita tidak boleh terlalu yakin dapat menundukkan lawan kerana pasukan lain semakin bertambah kuat dan berusaha ke arah memajukan bola sepak masing-masing namun kita seperti ketinggalan pula,” katanya.

Sebelum itu, enam tonggak daripada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara kembali memperkuatkan pasukan bagi menghadapi aksi playoff pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste.

Cheng Hoe tidak dapat menggunakan khidmat enam pemain berkenaan - Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan, Syahmi Safari dan Faisal Abdul Halim - pada saingan Piala Airmarine yang menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Oman dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 8:01 AM