LAUDA berada dalam kereta Ferrari pada sesi latihan GP Monaco pada 27 Mei 1976. — FOTO AFP
Reuters

JUARA Formula Satu dunia tiga kali Niki Lauda meninggal dunia pada usia 70 tahun hari ini, beberapa bulan selepas pemindahan paru-paru, menurut bekas pasukannya McLaren.

“Semua di McLaren amat sedih mendapat berita rakan kami yang juga juara F1 dunia 1984, Niki Lauda sudah meninggal dunia,” menurut pasukan itu.

“Niki akan kami kenang selama-lamanya dan kekal bersemadi dalam sejarah pasukan ini.”

Lauda, yang dimasukkan ke hospital Januari lalu selama 10 hari kerana mengalami demam selesema, meninggal dunia awal pagi tadi, menurut satu kenyataan keluarganya yang disiarkan media Austria.


LAUDA bersama isteri Birgit ketika menghadiri satu majlis di London pada 2013. — FOTO AFP

“Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan orang yang kami sayangi Niki sudah meninggal dunia dengan aman di samping keluarganya,” menurut kenyataan itu.

“Pencapaian uniknya sebagai atlet dan usahawan akan dikenang, semangatnya ketika beraksi, ketelusan dan keberanian akan kekal sebagai satu tauladan dan penanda aras buat kami, beliau seorang suami, bapa dan datuk yang pengasih serta penyayang. Kami akan merinduinya.”

Lauda menang tiga gelaran dunia pada 1975, 1977 dan 1984 bersama Mercedes dan Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:11 AM