NICOL (kanan) tidak berdepan masalah mengatasi Tze-Lok. — FOTO Agensi
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


DUA pemain wanita negara, Datuk Nicol David dan Low Wee Wern beraksi cemerlang untuk mara ke pusingan kedua ketika aksi dua pemain lelaki, Ng Eain Yow dan Ivan Yuen terkulai di pusingan pertama skuasy Terbuka British, awal pagi tadi.

Nicol tidak berdepan masalah menundukkan pemain Hong Kong, Ho Tze-Lok tiga set tanpa balas manakala Wee Wern menewaskan pemain England, Fiona Moverley 11-6, 11-3, 11-6.

Nicol yang muncul juara sebanyak lima kali dan akan bersara secara rasminya selepas tamat kejohanan itu hanya memerlukan 32 untuk menewaskan Tze-Lok 11-7, 11-5, 13-11.

“Saya hanya perlu melakukan apa yang saya perlu lakukan dengan baik dan terus mencari rentak kemenangan dan saya gembira menang 3-0.


WEE Wern (kanan) berjaya menundukkan Fiona pada pusingan pertama. — FOTO Agensi

“Saya rasa gembira apabila memasuki gelanggang dan bermain di hadapan peminat di sini.

“Ini kejohanan terakhir saya dan ia amat istimewa untuk beraksi pada Terbuka British. Saya hanya mahu mencuba dan menyerap segala kemungkinan yang datang dan menikmati setiap detik dalam permainan saya,” katanya.

Kemenangan Nicol menyaksikan dia akan bertemu pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Nour El Tayeb pada pusingan kedua.

Biarpun berdasarkan rekod pertemuan lebih memihak kepada Nicol dengan 9-1, namun pertemuan terakhir mereka pada Masters Saudi menyaksikan kemenangan Nour.

Sementara itu harapan Eain Yow yang akan berpangkalan di England selepas ini dinafikan oleh pemain tuan rumah, Patrick Rooney apabila tewas 8-11, 10-12, 7-11 dalam tempoh 41 minit.

Manakala Ivan tunduk kepada pemain Scotland, Greg Lobban 10-12, 9-11, 12-10, 4-11 selepas bertarung hampir sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:13 PM