MKHITARYAN (dua dari kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di pusat latihan London Colney menjelang aksi final Liga Europa. - FOTO AFP
AFP

KERAJAAN Azerbaijan hari ini memberi jaminan keselamatan kepada pemain Arsenal dan Armenia, Henrikh Mkhitaryan untuk beraksi pada final Liga Europa menentang Chelsea di Baku.

"Walaupun hubungan diplomatik di antara Azerbaijan dan Armenia tegang, Mkhitaryan tetap boleh beraksi di Baku,” kata jurucakap Kementerian Luar Azerbaijan, Leyla Abdullayeva.

"Ramai ahli sukan Armenia menyertai banyak kejohanan yang dialu-alukan Azerbaijan sebelum ini, dan tidak sepatutnya sukan dan politik dicampur adukkan,” katanya.

Semalam, Arsenal mengumumkan Mkhitaryan yang juga kapten skuad kebangsaan Armenia bakal terlepas aksi final di Baku minggu depan kerana bimbang akan keselamatannya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Azerbaijan (AFFA), Elkhan Mamedov berkata, pihak berkuasa Azerbaijan memberi jaminan kepada UEFA mengenai keselamatan Mkhitaryan.

"Dia tidak akan berdepan masalah keselamatan di Azerbaijan,” katanya.

Konflik Azerbaijan dan Armenia sudah berlarutan puluhan tahun lalu membabitkan wilayah Nagorny Karabakh yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:59 PM