HAMILTON muncul pemandu terpantas dalam dua sesi latihan GP Monaco. -Foto EPA
Reuters

JUARA Formula Satu dunia Lewis Hamilton muncul pemandu terpantas dengan jentera Mercedes bagi kedua-dua sesi latihan Grand Prix Monaco, malam tadi.

Pemandu Britain itu, yang diketepikan daripada aktiviti bersama media susulan kematian pengerusi bukan eksekutif Mercedes dan juara dunia tiga kali Niki Lauda, mencatat masa terpantas satu minit 11.118 saat pada sesi petang menggunakan tayar lembut.

Juara dunia lima kali itu, mendahului tujuh mata di depan rakan sepasukan Valtteri Bottas di puncak kejuaraan selepas lima perlumbaan, mencipta kepantasan pada sebelah pagi dengan masa 1:12.106.

Max Verstappen dari Red Bull kedua terpantas sesi pertama, hanya 0.059 perlahan berbanding Hamilton, namun jarang keluar pada sesi petang kerana kebocoran air.

Bottas menamatkan hari di tangga kedua 0.081 saat di belakang dengan Mercedes kekal satu-dua.

“Menjadi impian setiap pemandu untuk hadir ke Monaco dan mempunyai kereta yang anda boleh gunakan sejajar dengan keupayaan anda,” kata Hamilton.

“Kami membuat beberapa perubahan kecil dalam dua sesi itu dan saya amat gembira dengan pelarasan jentera.”

Antara mereka, Hamilton dan Bottas menang setiap perlumbaan tahun ini dengan lima perlumbaan berturut-turut menyaksikan penamat satu-dua – permulaan terbaik bagi satu musim – dan menjadi pilihan bagi keenam berturut-turut Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:34 AM