PSG menamatkan kempen musim ini dengan 91 mata manakala Reims mengumpul 55 mata di tangga kelapan. FOTO AFP
Reuters

PARIS Saint Germain menoktahkan kempen mereka di Ligue 1 musim ini dengan kekecewaan apabila tewas 1-3 di Stade de Reims awal pagi tadi ketika penjaga gol Gianluigi Buffon gagal menampilkan aksi terbaiknya.

Buffon yang menggantikan Alphonse Areola dan berjaya menyelamatkan percubaan Reims yang cuba merobek gawang PSG namun selepas itu prestasi pemain veteran Itali itu semakin menjunam.

PSG dihukum menerusi aksi serangan balas pada minit ke-36 apabila Abdul Rahman Baba berjaya meledak jaringan dengan rembatan tepat yang melepasi kedua-dua kaki Buffon.

Mathieu Cafaro menggandakan jaringan Reims pada minit ke-56 menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan Buffon.

Kylian Mbappe yang memerlukan empat gol untuk menyamai rekod Lionel Messi dengan 36 gol buat Barcelona musim ini bagaikan hilang arah sehinggalah dia berjaya menjaringkan gol dari jarak dekat tiga minit kemudian.

Ini adalah jaringan ke-33 Mbappe dalam Ligue 1 musim ini, paling banyak buat pemain Perancis di liga utama selepas Philippe Gondet meledak 36 gol untuk Nantes pada 1966.

Pablo Chavarria, bagaimanapun mengesahkan kemenangan mereka apabila menambah gol ketiga buat Reims pada minit terakhir.

PSG menamatkan kempen musim ini dengan 91 mata manakala Reims mengumpul 55 mata di tangga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 7:57 AM