BADDROL Bakhtiar( kiri) mengawal bola daripada direbut pemain Terengganu FC, Khairul Anwar Shahrudin pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


KETIADAAN Baddrol Bakhtiar bersama pasukan Kedah dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos malam esok tidak akan melemahkan skuad Lang Merah untuk memburu kemenangan.

Menurut Pengurus Pasukan Kedah Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, walaupun skuad Kedah akan turun tanpa Baddrol yang menjalani penggantungan kad kuning pada perlawanan kali ini, ia tidak akan melumpuhkan semangat sebaliknya mahu terus bekerja sebagai satu pasukan demi memburu tiga mata di Larkin.

"Ini kerana sikap pemain yang sudah bertekad untuk bekerja sebagai satu pasukan dan mahu membuktikan semangat juang mencari kemenangan seperti yang diharapkan.

"Memang ketiadaan kapten Baddrol Bakhtiar akan dirasai tambahan pula dalam perlawanan menentang pauskan teratas Liga Super seperti JDT, namun saya percaya semua pemain lain tetap dengan fokus mereka melalui perancangan yang diterapkan oleh ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak selama ini.

"Bagi saya sebelum ini kita pernah menempuh perlawanan tanpa kesebelasan utama terbaik seperti Renan Alves, Rizal Ghazali, Shakir Hamzah dan lain-lain, namun kita dapat teruskan rentak permainan dengan baik dengan memberi saingan yang positif."

Al Naliq juga menepis anggapan bahawa Kedah kini lebih memberi fokus kepada saingan Piala FA berbanding Liga Super memandangkan Kedah sudah mencapai peringkat separuh akhir pada musim ini.

"Memang kami memberi fokus dalam saingan Piala FA kerana diatas kertas kami memiliki peluang yang tinggi untuk ke peringkat akhir, namun kami juga tetap fokus dan berjuang berhabis-habisan untuk perlawanan Liga Super yang mana kami perlukan mata penting untuk terus bersaing merebut tempat dikelompok atas carta liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 2:06 PM