ZVEREV bangga memperagakan trofi Terbuka Geneva, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

PEMAIN Jerman, Alexander Zverev bersiap sedia menghadapi Terbuka Perancis dengan cara terbaik apabila mengalahkan pemain Chile, Nicolas Jarry 6-3, 3-6, 7-6 (10/8) pada final Terbuka Geneva, awal pagi tadi.

Pilihan utama itu, yang memburu kejuaraan pertamanya di gelanggang tanah liat sejak memenangi Terbuka Itali tahun lalu, mengharungi musim yang mengecewakan setakat ini dan tidak menang kejuaraan sejak Pusingan Akhir ATP di London, November lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu tidak meraih kemenangan mudah, mengambil masa dua jam 35 minit untuk mengatasi lawannya yang juga pemain bukan pilihan pada perlawanan yang mana kedua-dua pemain berdepan mata penamat beberapa kali. Dua penangguhan kerana hujan menambah drama.

Zverev, pilihan kelima di Roland Garros, berdepan pemain Australia, John Millman pada pusingan pertama Terbuka Perancis esok manakala Jarry memulakan kejohanan menentang pilihan kelapan Juan Martin del Potro dari Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 1:45 PM