PAULO Josue Sturmer Dos Reis (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang pasukan PKNP FC. FOTO Bernama
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


SKUAD Kuala Lumpur berjaya memperbaiki kedudukan liga selepas menundukkan PKNP 4-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Tiga gol dalam tempoh lima minit membuktikan skuad kendalian Chong Yee Fatt kini dibarisi pemain mantap bagi mengharungi baki saingan liga selepas memasukkan sekurangnya dua muka baharu pada jendela perpindahan kedua.

Malah, Guilherme De Paula membuktikan dia masih lagi penyerang berbisa apabila melakukan hatrik sekali gus membantu pasukan The City Boys untuk membawa pulang tiga mata penting.

Paulo Josue terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan pada minit 11 sebelum De Paula pula menanduk gol kedua hasil hantaran Zhafri Yahya selang tiga minit kemudian.

De Paula sekali lagi menambah derita skuad kendalian Abu Bakar Fadzim apabila menyumbat gol ketiga tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-17.

Separuh masa kedua menyaksikan PKNP cuba mengatur serangan ke kubu lawan bagi merapatkan jurang gol.

Gol yang dicari pelawat akhirnya menjelma menerusi Giancarlo Lopes ketika perlawanan berbaki lapan minit.

Usaha PKNP sekurangnya mencuri satu mata tidak berhasil malah De Paula menyumbat gol keempat tuan rumah pada minit 90 untuk kedudukan 4-1 hingga tamat perlawanan.

Kemenangan Kuala Lumpur melonjak kedudukan pasukan itu ke tangga ke-10 liga dengan 14 mata mengatasi PKNP dan FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:21 AM