FERGUSON dan kedua-dua pasukan bergambar kenangan selepas tamat perlawanan di Old Trafford. - FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi menghantui Bayern Munich selepas menjaringkan gol dalam perlawanan amal membabitkan juara treble 1991 dengan gergasi Jerman, awal pagi tadi.

Dua puluh tahun selepas jaringan lewat Solskjaer membantu skuad Alex Ferguson menewaskan Bayern pada final Liga Juara-Juara, beliau menyertai bekas rakan sepasukan menentang musuh lama mereka itu Old Trafford.

Solskjaer sekali lagi memanaskan bangku simpanan, situasi sama pada final di Camp Nou namun tidak mengambil masa lama mencipta impak apabila membuka tirai jaringan selepas masuk menggantikan Andy Cole.


GELAGAT Beckham meraikan jaringannya. - FOTO Reuters

Dengan Ferguson menjadi pengurus, Old Trafford diselubungi keceriaan selepas mengharungi musim mengecewakan apabila United menang 5-0 sekali gus sebagai pelonjak semangat kepada skuad generasi baharu.

Ia juga kali pertama buat Ferguson, 77, menjadi pengurus United selepas bersara pada 2013. Beliau duduk bersebelahan bekas pengurus England, Steve McClaren yang menjadi pembantunya 20 tahun lalu dan kali pertama juga menyaksikan Ferguson kembali ke padang selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak, tahun lalu.


DATUK Mohd Khalil Kader Mohd (dua dari kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan botol dan tin yang dipercayai di seludup masuk tanpa membayar duti kastam manakala gambar kecil tin minuman samsu haram yang dipercayai menyebabkan empat maut pada sidang media, hari ini. FOTO Zain Ahmed

Mengimbau memori 1999, David Beckham terkenal dengan percubaan jarak jauh, Jaap Stam tiada belas kasihan di pertahanan dan Paul Scholes menguasai bahagian tengah.

Mereka berdepan Bayern yang dipenuhi bintang seperti Lothar Matthaus, Stefan Effenberg, Sammy Kuffour dan Carsten Jancker serta bekas pertahanan Manchester City, Martin Demichelis.

Selepas Solskjaer menjaringkan gol pertama, Dwight Yorke menjadikan kedudukan 2-0 menerusi gol menarik buat skuad Legenda United.

Nicky Butt menjaringkan gol ketiga United 11 minit sebelum tamat perlawanan selepas mendapat hantaran Louis Saha dan Saha salah seorang pemain yang bukan anggota skuad 1999 turut meledak gol keempat pada minit 85.

Beckham melengkapkan kemenangan nostalgia itu dengan gol kelima dan mendapat tepukan bergemuruh 60,000 penonton.

United sehingga kini muncul kelab Inggeris tunggal menjuarai treble dengan menjulang trofi Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara dalam satu musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 9:07 AM