Pemain JDT, Afiq Fazail (tengah) dicabar dua pemain Kedah, Zaquan Adha (kanan) dan Fadzrul Danel. FOTO NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM.
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak sedia bertanggungjawab di atas kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pengendali kelahiran Singapura itu mengakui barisan pemainnya berdepan kesukaran menentang skuad kendalian Luciano Figueroa dan Benjamin Mora yang serba lengkap malah mengawal perlawanan sejak babak pertama sehingga tamat perlawanan.

"Kami tahu bukan mudah untuk menentang JDT di laman mereka sendiri.

Mereka miliki barisan pemain yang lengkap malah corak permainan pasukan itu juga lebih baik berbanding ketika kami menentang mereka 29 Mac lalu.

"Apa yang kami perlu lakukan adalah kami perlu belajar selepas tewas dalam perlawanan itu namun saya tetap bangga dengan pemain Kedah yang cuba sedaya upaya memberi tentangan terhadap JDT dalam aksi itu.

"Agak sukar juga buat kami apabila beraksi dengan 10 pemain ketika itu kami ketinggalan 0-1 dan terpaksa berkerja keras untuk mengekang asakan bertali arus barisan serangan JDT.

Apapun itulah bola sepak biarpun cuba menyaingi pasukan itu tetapi kami terpaksa akur dengan kekalahan.

Dalam pertembungan itu, JDT jelas menguasai perlawanan malah sering memperkotak-katikkan barisan pemain Aidil Sharin yang jelas tidak bermaya terutama kelibat pemain import Fernando Ortega dan Jonatan Bauman yang gagal menyerlah dan tidak memberi ancaman kepada penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Malah taktikal Aidil Sharin yang menyenaraikan pemain baharu, David Rowley seolah-olah memakan diri selepas bekas pemain Kelantan itu yang mengisi kekosongan Baddrol Bakhtiar untuk mengemudi posisi tengah ibarat penumpang dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Aidil Sharin enggan memberi komen mengenai persembahan tidak berkualiti barisan pemain import dan Rowley, sebaliknya beliau menegaskan skuad Lang Merah bukanlah tertumpu kepada individu tetapi lebih mengutamakan berpasukan.

"Saya tidak cakap mengenai pemain secara individu. Saya lebih suka bercakap mengenai pasukan kerana kami bekerja sebagai satu pasukan dan jika menang sudah tentu menang sebagai satu pasukan dan jika tewas kami tewas sebagai satu pasukan.

"Apa perlu dilakukan adalah memperbetulkan kesalahan yang berlaku dalam perlawanan itu malah tempoh rehat selama 15 hari akan beri ruang kepada saya dan pihak kejurulatihan untuk memperbaiki kelemahan dalam pasukan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 3:24 PM