Quagliarella pada majlis penyerahan kasut emas. FOTO REUTERS
Agensi

FABIO Quagliarella membuktikan umur hanyalah angka selepas pemain berusia 36 tahun itu menamatkan saingan musim selaku penjaring terbanyak Serie A mengatasi Cristiano Ronaldo.

Pemain veteran Sampdoria itu yang beraksi penuh sensasi musim ini, meraih Kasut Emas liga utama Itali dengan menjaringkan 26 gol iaitu lima gol lebih banyak berbanding pencabarnya beraksi bersama Juventus itu.

Biarpun Ronaldo atau CR7 memenangi gelaran liga dan Pemain Terbaik namun sudah empat musim gagal menamatkan saingan penjaring terbanyak dalam saingan liga disertainya termasuk di Sepanyol sebelum ini.

Malah, Ronaldo juga tidak berada selaku naib juara di belakang pemain Sampdoria itu apabila pemenang lima kali Ballon d'Or itu sekadar berada di tempat keempat.

Pemain Atalanta, Duvan Zapata berada di tempat kedua di belakang Quagliarella dengan 23 gol dan pemain AC Milan, Krzysztof Piatek, ketiga dengan 22.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 1:12 PM