Jasazrin bersama rakan sepasukan akan terus berjuang. FOTO FELDA United
Jasazrin bersama rakan sepasukan akan terus berjuang. FOTO FELDA United
Asrol Awang


FELDA United FC tidak mengharapkan belas kasihan pasukan lain untuk memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Pemain tengah The Fighters, Jasazrin Jamaluddin berkata, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil itu mempunyai strategi sendiri bagi mengharungi baki perlawanan sebaik saingan Liga bersambung 16 Jun ini.

"Kita tidak perlukan bantuan daripada pasukan lain atau mengharapkan mereka tewas dalam setiap perlawanan selepas ini, saya percaya pasukan FELDA United masih boleh mencipta kemenangan.

"Lagipun, kebanyakan pemain yang cedera sebelum ini sudah kembali menjalani latihan dan saya rasa 'coach' mempunyai perancangan tersendiri berdepan baki lapan lagi perlawanan selepas ini," katanya.

Jasazrin yang turut mengalami kecederaan sebelum ini juga sudah kembali berlatih bersama rakan sepasukan dan sedang meningkatkan stamina.

"Kalau kita tengok kedudukan FELDA United ketika ini, nampak agak sukar dan ditambah pula pasukan Kuala Lumpur memiliki 14 mata di tangga ke-10 dan PKNP FC pula dengan 12 mata di tangga ke-11.

"Dengan hanya sembilan mata dikutip, memang kita tidak boleh tercicir lagi mata dalam baki perlawanan yang ada," katanya.

Ditanya mengenai kecederaan hamstring dialaminya ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) 4 Mei lalu, Jasazrin berkata, dia sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk kembali diturunkan.

Katanya, kehadiran semula kapten pasukan, Hadin Azman dan penyerang, Khairul Amri Mohd Kamal yang turut mengalami kecederaan sebelum ini juga diharapkan menyuntik semangat rakan sepasukan lain untuk tampil dengan aksi lebih bertenaga selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 3:28 PM