POCHETTINO memerhatikan pemainnya memanaskan badan di Enfield, London. - FOTO Agensi
Agensi

MEMENANGI aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool awal pagi Ahad ini adalah misi terbesar Mauricio Pochettino buat Tottenham, menurut Harry Kane menjelang detik terbesar dalam sejarah kelab utara London itu.

Pochettino mewarisi kelab yang menduduki tangga keenam dalam Liga Perdana ketika dia berpindah dari Southampton dan mengambil alih tugas pada Mei 2014 dengan impian membawa Spurs keluar daripada bayangan pesaing London iaitu Arsenal dan Chelsea.

Dengan Harry Kane semakin berbisa sejak di bawah kendalian Pochettino sehingga muncul penjaring terbanyak kelab setiap musim, Spurs kini muncul pasukan digeruni lawan.

“Beliau bersemangat tinggi dan tidak kenal putus asa,” kata Kane ketika ditemui wartawan selepas tamat latihan di London, semalam.

“Sejak mengambil alih tugas, beliau mempunyai perancangan menjadikan Spurs salah satu kelab terbaik di Eropah dan kini kami tidak jauh daripada aksi terbesar di Eropah dan sejarah kelab.

“Beliau menjalankan tugas dengan fantastik dan juga pengurus yang hebat.”

Spurs menduduki kelompok empat teratas dalam Liga Perdana buat kali keempat berturut-turut, memiliki antara stadium paling canggih bernilai bilion ringgit dan sekarang hanya selangkah lagi dinobatkan Raja Eropah.

Bagi Kane, kejayaan Spurs yang dipacu dirinya dan rakan sepasukan turut dibantu kepemimpinan Pochettino.

“Semua pemain mahu bermain dan berjuang sebaik mungkin untuknya,” katanya.

“Itulah tahap ditetapkannya, anda boleh lihat di mana kelab kini berada. Pusat latihan, stadium dan final Liga Juara-Juara. Itu adalah perancangannya dan sekarang untuk memenanginya pada Sabtu ini (awal pagi Ahad).

Kane kembali menjalani latihan penuh selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menewaskan Manchester City 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara dan dia yakin kembali cergas menjelang aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 1:06 PM