HAZARD (belakang sekali) meraikan kejayaan memenangi Liga Europa bersama rakan sepasukan. — FOTO Reuters
AFP

EDEN Hazard membantu mencetus malam untuk diraikan oleh Chelsea di Baku, namun pengesahan pemain Belgium itu ia hampir pasti aksi terakhirnya bersama kelab itu membuka ruang bagi musim panas tidak menentu di Stamford Bridge.

Hazard meledak dua gol, termasuk satu penalti dan mencipta satu lagi gol buat Pedro Rodriguez selepas Olivier Giroud membuka jalan kemenangan 4-1 ke atas musuh London, Arsenal pada final Liga Europa di Azerbaijan.

Pasukan kendalian Maurizio Sarri berhak muncul juara ketika mereka memenangi pertandingan itu buat kali kedua dalam tempoh tujuh tahun Hazard di kelab itu.

Mereka akan kembali ke Liga Juara-Juara musim depan, ketika itu Hazard mungkin sudah menyarung jersi Real Madrid.

KESEBELASAN utama Chelsea pada final di Baku. Hazard depan dua dari kanan. — FOTO AFP

Pemain berusia 28 tahun itu, kontraknya bersama Chelsea berakhir tahun depan, sudah lama dikaitkan dengan Madrid dan semua petunjuk terarah kepada perpindahan yang mungkin bernilai sekitar 100 juta euro (RM467 juta).

Chelsea sedar masanya sudah tiba, namun ia satu kebimbangan buat kelab yang berdepan penggantungan pembelian pemain oleh FIFA bagi dua jendela perpindahan berikutnya, bergantung rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.

“Saya mempunyai satu hubungan istimewa bersamanya di padang dan di luar. Dia seorang rakan. Saya amat gembira buatnya dan masa depannya. Kami pasti terasa ketiadaannya,” kata Giroud.

“Dia berhak mendapatnya, selepas tujuh tahun yang bagus dan khidmat setia kepada Chelsea. Dia berhak mengharungi satu cabaran baharu.”

GIROUD berkawan baik dengan Hazard. — FOTO Reuters

Hazard kini berharap boleh memenangi Liga Juara-Juara, trofi yang dijulang Chelsea pada 2012 sebelum mengikat pemain Belgium itu dari Lille.

Sepanjang masanya di barat London, Hazard menang dua kejuaraan Liga Perdana, satu Piala FA dan satu Piala Liga selain dua Liga Europa.

“Saya tahu. Saya sedar Eden mahu pergi, sudah tentu, tapi seperti saya katakan dalam setiap sidang akhbar, saya mahu menghormati keputusannya,” kata Sarri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 12:19 PM