Solihin menjadi penjaga gol gantian kepada Apek. FOTO Nazri Abu Bakar
Solihin menjadi penjaga gol gantian kepada Apek. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


MELAKA menyenaraikan penjaga gol Kuala Lumpur, Ahmad Solehin Mamat sebagai pemain gantian kepada Khairul Fahmi Che Mat (Apek) jika mengalami sebarang kecederaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim, berkata Solehin disenaraikan menyertai Melaka selepas dipinjamkan daripada skuad The City Boys itu.

Menurutnya, penyertaan penjaga gol berusia 23 tahun itu mampu menjadi pilihan lebih besar buat jurulatih, Zainal Abidin Hassan sekali gus sebagai rakan sepelatih Apek dalam memastikan momentum kecemerlangannya untuk dikekalkan sebagai pilihan pertama.

Katanya, selain Apek dan Solehin, Melaka memiliki penjaga gol simpanan, Oscar Wong Tse Yang sekali gus turut membuka saingan sihat dalam posisi terakhir penjaga gawang pasukan pada pusingan kedua Liga Super selepas ini.

"Ada beberapa faktor penyenaraian Solehin antaranya bagi menggantikan tempat Syafizullah Wahab yang dipinjamkan ke SAMB FC.

"Kehadiran penjaga gol kelahiran Melaka itu antara sebahagian pelan jangka panjang MUSA dengan kesemua yang ada dalam pasukan akan dikekalkan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

Farhan berkata, dengan pendekatan berkenaan memungkinkan hanya perubahan kecil akan dilakukan untuk skuad Melaka 2020 kelak.

Beliau berkata, ia bakal menyaksikan tiada rombakan menyeluruh seperti tahun sebelumnya sehingga boleh menjejaskan keserasian pemain yang tersenarai.

Solehin, bekas penjaga gol Harimau Muda B dan menyertai Melaka pada 2015 dan 2016 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada musim 2017 dan 2018.

Kepulangannya ke kampung halaman menyaksikan dia akan terus dibimbing bekas penjaga gol kebangsaan Melaka dan Sarawak, Mazlan Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 2:09 PM