Zonjic tinggalkan Terengganu. FOTO NSTP
Malik Muhamad


BEKAS pemain import Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic meluahkan rasa berat dan sedih untuk meninggalkan pasukan walaupun khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh skuad Penyu.

Malah pemain pertahanan dari Montenegro itu juga mengakui masih belum mempunyai pasukan lain setakat ini selepas digugurkan pada jendela kedua perpindahan pemain ditutup, minggu lalu.

"Saya sudah tidak bersama lagi dengan TFC, saya sudah ditamatkan kontrak, kami sudah bersetuju dalam semua hal selepas perbincangan diadakan dengan pihak pengurusan.

"Namun begitu, kaki saya begitu berat untuk melangkah pergi, saya juga begitu sedih untuk pergi meninggalkan kelab ini (TFC), lebih-lebih lagi saya sudah anggap kelab ini sebagai rumah dan keluarga saya selepas bersama sejak awal musim lalu.

"Tetapi apa boleh buat, inilah bola sepak, saya perlu akur.

Malah ada pemain ternama yang menyarung jersi pasukan besar dengan kelab lain juga terpaksa meninggalkan pasukan, ia biasa dalam mana-mana kelab," ujar Zonjic.

Pada final Piala Malaysia musim lalu menentang Perak, pemain dipancing bekas jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim beraksi cemerlang sepanjang 90 minit masa sebenar dan masa tambahan.

Namun berbaki beberapa saat lagi sebelum tamat permainan, Zonjic memberi 'talian hayat' kepada lawan selepas 'menghadiahkan' gol sendiri sesudah tertampan bola ke gawang golnya sekali gus menyaksikan juara terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti selepas terikat 3-3 sebelum tewas 1-4 menerusi penentuan penalti.

Mengulas lanjut, Zonjic berharap skuad Penyu mampu mengulangi pencapaian mara ke final Piala Malaysia musim ini dan seterusnya muncul juara biarpun tanpanya.

"Saya harap TFC berjaya ke final dan menebus kehampaan musim lalu biarpun jauh di sudut hati saya mahu bersama dengan rakan sepasukan melakar sekali lagi memori indah itu.

"Untuk masa depan saya tidak tahu lagi dan saya masih belum mempunyai pasukan lagipun segalanya berlaku begitu pantas dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian.

"Saya perlu pandang ke hadapan dan tidak boleh menyerah kalah.

Buat sementara ini saya akan tinggal di Malaysia dan sekiranya tidak ada pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat, saya akan pulang ke negara saya," kata Zonjic, pernah menyarung jersi kelab River Plate dalam Liga Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 3:44 PM