SALAH bersama trofi Piala Eropah ketika meraikannya bersama rakan sepasukan di Madrid. — FOTO EPA
AFP

MOHAMED Salah dikeluarkan kerana cedera dalam tempoh 30 minit pada final Liga Juara-Juara tahun lalu namun meraikannya dalam tempoh dua minit pertama kali ini.

Peralatan terakhir upacara pembukaan belum sempat diturunkan ke terowong apabila Salah merembat kencang sepakan penalti melepasi Hugo Lloris sebelum meraikan jaringannya di depan penyokong Tottenham, lama selepas rakannya sudah berundur.

Salah mempunyai sejarah dengan penyokong Spurs, terutama apabila dianggap pengancam utama Harry Kane memenangi Kasut Emas pada musim kebelakangan, namun mungkin ada sebab lain dia mahu meraikannya lebih lama.

Apatah lagi, pada peringkat ini tahun lalu, dengan hadiah terbesar bola sepak kelab menjadi buruan, Salah menyaksikan finalnya berakhir dengan tindakan Sergio Ramos menyentap bahunya secara kasar.


SALAH meraikan gol penalti di depan penyokong Spurs. — FOTO Reuters

Dikeluarkan selepas setengah jam, Salah terbaring di hospital, tidak dapat membantu ketika Liverpool tewas 1-3 di tangan Real Madrid sebelum dia bergelut pada Piala Dunia, kurang berbisa ketika Mesir tersingkir tanpa sebarang kemenangan.

“Sebelum perlawanan, saya melihat gambar tahun lalu dan kami terlalu kecewa kalah pada final,” kata Salah.

“Saya terlalu kecewa kerana kecederaan itu, saya dikeluarkan selepas 30 minit dan kami kalah perlawanan itu. Ia memberi motivasi kepada saya untuk menang hari ini. Apabila anda tahu bagaimana peritnya rasa kalah, anda kata kepada diri sendiri ‘jom keluar dan memenanginya’.

“Kini setiap orang gembira, saya bangga bermain final kedua berturut-turut dan akhirnya beraksi 90 minit penuh,” kata Salah kepada BT Sport.

“Setiap orang melakukan yang terbaik hari ini, tiada persembahan hebat individu, semua pemain dalam pasukan mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:52 AM