Reuters

DIVOCK Origi semakin lama semakin berjaya meletakkan dirinya sebagai faktor penentu kejayaan Liverpool.

Penyerang Belgium itu bukannya tonggak utama serangan Liverpool namun dia ternyata menjadi faktor penentu, memastikan kejayaan keenam pasukannya menjulang Piala Eropah dengan gol kedua ketika menang 2-0 ke atas Tottenham Hotspur pada final awal pagi tadi.

Origi membuat penyudah klinikal pada minit ke-87 untuk mengesahkan kejayaan Liverpool di Wanda Metropolitano di Madrid, menamatkan sisa-sisa perjuangan anak buah Mauricio Pochettino untuk memaksa masa tambahan dan menjuarai trofi itu kali pertama.

Sesudah menyerlah dengan dua gol ketika kebangkitan menakjubkan menentang Barcelona pada separuh akhir kedua, Origi melengkapkan sentuhan penyudah untuk menang ke atas Spurs di Wanda Metropolitano dalam cuaca panas di ibu negara Sepanyol itu.


ORIGI (kiri) menjaringkan gol kedua Liverpool pada perlawanan akhir. — FOTO AFP

“Terlalu luar biasa. Memenangi Liga Juara-Juara amat sukar,” kata Origi. “Hari ini kami di sini, bertindak sebagai satu pasukan serta penyokong dan kami meraikannya bersama. Saya fikir kami melakukannya sebagai satu pasukan, kami melangkah secara positif.

“Kami mempunyai gabungan pemain berbakat dan berpengalaman luas dan hari ini kami menikmati serta membuktikannya.”

Menyertai Liverpool pada 2014 dari Lille dengan harga £10 juta (RM53 juta) dan dipinjamkan semula ke kelab Perancis itu selama semusim, dia dihantar ke Wolfsburg musim lalu selepas dua tahun bergelut untuk melakukan impak di Anfield.

Penyerang itu membantu kelab Jerman itu mengelak tersingkir daripada Bundesliga dan hampir dipinjamkan sekali lagi pada musim panas lalu sebelum kekal di Anfield sebagai pemain skuad bagi kempen kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 11:54 AM
ORIGI mengucup trofi Liga Juara-Juara selepas menyumbang satu gol pada final di Madrid, awal pagi tadi. — FOTO EPA