TCHETCHE baru menjaringkan lima gol dalam Liga Super setakat ini. — FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


PENYERANG sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche percaya pemburuan Kasut Emas musim ini masih belum tertutup biarpun dia baru meledak lima gol dalam Liga Super.

Malah, pemain dari Ivory Coast yang digelar ‘Drogba Ganu’ itu masih menaruh harapan untuk menjadi pencabar utama dan memahat sejarah merangkul gelaran penjaring terbanyak selepas sekadar di tangga kedua musim lalu.

“Masih ada tujuh perlawanan liga dan apa-apa pun boleh terjadi, lebih-lebih lagi perbezaan jaringan dengan penjaring terbanyak setakat ini hanya dipisahkan dengan tiga gol.

“Justeru, saya masih berusaha untuk menghasilkan seberapa banyak jaringan bagi membantu pasukan serta mengintai peluang muncul penjaring terbanyak musim ini selepas hanya di tangga kedua musim lalu.


TCHETCHE (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Fitri Omar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. — FOTO Owee Ah Chun

“Lagipun, saya gembira kerana sudah menemui semula sentuhan jaringan sejak kemarau gol dari perlawanan pertama hingga kesembilan,” kata bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu.

Berdasarkan kedudukan terkini, penyerang termahal Liga Malaysia yang beraksi dengan Johor Darul Ta’zim, Diogo Santo mendahului senarai penjaring dengan lapan gol bersama rakan sepasukan, Gonzalo Cabrera dan pemain PKNS, Kpah Sherman serta penyerang Melaka United, Patrick Reichelt.

Musim lalu, anak bongsu daripada enam beradik itu meledak 14 gol untuk berada di belakang pemenang Kasut Emas dari Selangor, Rufino Segovia yang menyumbat 19 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 12:39 PM