PLATINI (kanan) berasa beliau dikhianati Infantino. — FOTO AFP/Getty Images
PLATINI (kanan) berasa beliau dikhianati Infantino. — FOTO AFP/Getty Images
AFP

BEKAS pemimpin bola sepak Eropah, Michel Platini mengecam Presiden FIFA, Gianni Infantino menjelang pemilihan semula apabila menyatakan beliau “tidak mempunyai kewajaran” dan sebelum ini mempersenda bola sepak wanita.

“Beliau tidak mempunyai kewajaran, beliau tidak boleh dipercayai sebagai presiden FIFA,” kata Platini dalam satu temu ramah bersama akhbar sukan harian Perancis, L’Equipe dan beberapa akhbar Eropah.

Hubungan Platini dan Infantino, bekas orang kanannya, tidak baik selepas Platini digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak susulan bayaran 2 juta Swiss franc (RM8.4 juta) daripada FIFA.

Platini mendakwa ketika Infantino memegang jawatan terdahulu sebagai setiausaha agung UEFA “setiap orang tahu beliau sering mengkritik FIFA.”

PENGGANTUNGAN empat tahun terhadap Platini berakhir Oktober depan. — FOTO AFP/Getty Images
PENGGANTUNGAN empat tahun terhadap Platini berakhir Oktober depan. — FOTO AFP/Getty Images

Dengan Piala Dunia Wanita bermula di Perancis Jumaat ini, Platini malah mendakwa Infantino, ketika mereka bekerjasama di UEFA, tidak pernah menyokong pembangunan bola sepak wanita.

“Bagaimana beliau boleh mempromosi bola sepak wanita apabila beliau sering kali mempersendanya! Beliau tidak pernah percaya dengan bola sepak wanita,” ujar Platini.

Infantino, yang menjadi pemimpin FIFA pada 2015 selepas skandal rasuah di bawah Sepp Blatter, dijangka dipilih semula tanpa dicabar bagi penggal kedua pada kongres FIFA di Paris, esok.

Platini, yang menyerlah sebagai pemain buat Saint Etienne dan kelab gergasi Itali, Juventus, kini berkempen supaya FIFA melucutkan penggantungan empat tahunnya dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 8:26 AM