RAHMAD Darmawan (tengah) sedia menjawat jawatan ketua jurulatih skuad Terengganu FC (TFC).
Malik Muhamad


JURULATIH kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan sedia menjawat jawatan ‘kerusi panas’ ketua jurulatih skuad Terengganu FC (TFC) bagi menggantikan bekas pengemudi skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan.

Menurut sumber, bekas jurulatih skuad T-Team musim 2016 hingga 2017 itu sudah menyatakan kesediaan untuk membimbing skuad Penyu jika Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berminat menggunakan khidmatnya.

“Bekas pemain kebangsaan Indonesia itu sudah menghantar borang permohonan kepada PBSNT, namun pihak persatuan masih belum memutuskan jurulatih mana yang bakal mengisi jawatan itu.

“Ini kerana setakat ini ramai jurulatih tempatan dan luar negara menyatakan kesediaan untuk membimbing skuad TFC berdasarkan permohonan yang diterima untuk mengisi jawatan itu,” kata sumber itu.

Selain Rahmad, 53, yang pernah menyarung jersi skuad ATM sebagai pemain import, dua lagi bekas pengendali pasukan T-Team, Tomislav Steinbruckner dan Azlan Johar serta bekas pemain pertahanan Terengganu era 90-an, Mohamad Ishak Kunju Mohamad turut menawarkan diri untuk melatih pasukan itu.

Kerusi ketua jurulatih TFC kosong selepas bekas pengendalinya, Irfan meletak jawatan secara mengejut ketika mesyuarat khas PBSNT pada 15 Mei lalu susulan aksi tidak konsisten pasukan terutama tewas 3-5 kepada pendatang baru Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City) biarpun mendahului 3-0.

Berikutan itu, penolong jurulatih, Nafuzi Zain diberi kepercayaan oleh pihak persatuan untuk mengetuai pasukan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu buat sementara sebelum PBSNT memutuskan jurulatih baru mengendali pasukan.

Selepas dua perlawanan awal dilalui skuad itu, Nafuzi yang dibantu Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar ‘lulus ujian’ selepas pasukannya mencatat keputusan seri 1-1 bertemu FELDA United di laman lawan dan menang tipis 1-0 ketika bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:30 PM