KEADAAN padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dianggap kurang berkualiti jika dibandingkan dengan Stadium Shah Alam dan Selayang.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KEADAAN padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat antara punca utama pemain skuad Harimau gagal menunjukkan aksi terbaik mereka walaupun berjaya mencatatkan kemenangan besar menumpaskan Timor Leste.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali turut berpendapat perlawanan keduaantara Malaysia menentang Timor Leste perlu ditukar ke Stadium Shah Alam atau Selayang yang keadaan padang jauh lebih berkualiti dan baik.

Khalid berkata, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berjaya menerapkan sistem dan taktikal baharu terhadap pasukan negara namun perkara itu tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya apabila keadaan padang menjadi halangan utama.

“Sedih saya tengok keadaan padang kerana itu bukan taraf dunia atau untuk pemain profesional, namun lebih kepada padang bagi ‘pemain kampung’.

“Saya lihat Cheng Hoe berani menggunakan taktikal baharu dan boleh dikatakan berjaya menerapkannya dalam pasukan iaitu tidak menggunakan Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh sebagai pemain untuk menyerang dan bertahan.

“Namun, rata-rata pemain dilihat terpaksa menghadapi cabaran keadaan padang yang teruk, sekali gus merencatkan corak permainan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada perlawanan Jumaat lalu, Malaysia menang bergaya menewaskan Timor Leste 7-1.

Sementara itu, Khalid berkata, pemain kebangsaan diingatkan tidak terlalu berasa selesa atau berbangga dengan kejayaan terbabit kerana Timor Leste bukan lawan sebenar mereka.

“Seperti kita ketahui, Timor Leste dibarisi pemain muda dan kebanyakan mereka masih baharu di pentas antarabangsa, sekali gus tidak memberi ancaman besar kepada skuad Harimau Malaya.

“Mereka perlu mengurangkan melakukan kesilapan mudah dan tidak lagi menumpu kepada pemain tertentu untuk menjaringkan gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:05 AM